Hannah Yeoh bersama barisan pimpinan India lain duduk semeja selesai isu kuil Sri Patrakaliamman hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan tapak baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah siap sepenuhnya dari segi kelulusan dan pewartaan selari dengan pelaksanaan pembangunan Masjid Madani di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keseluruhan proses dilaksanakan secara terancang berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama.

“Kerajaan telah menyediakan tapak baharu bagi pemindahan kuil ini dan semua kelulusan berkaitan telah dipercepatkan bagi memastikan kelangsungan amalan keagamaan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hannah Yeoh lawat lokasi tapak baharu hari ini.

Menurut Hannah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meluluskan semua pelan bangunan kuil pada 17 September 2025, sebelum tapak baharu itu digazetkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam pada 5 Disember tahun yang sama.

Katanya, kebenaran membina bangunan di atas tanah berkenaan pula telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) pada 14 Januari lalu.

“Ketika ini, kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi dengan penglibatan semua agensi dan pihak berkaitan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, satu mesyuarat penyelarasan diadakan pada hari ini bagi memperincikan langkah pemindahan serta penyelarasan pembinaan di tapak baharu.

Tambah Hannah, perbincangan secara rapat dan berkala akan diteruskan khususnya selepas sambutan perayaan Thaipusam, bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara teratur dan saling menghormati.

Dalam kenyataan sama, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif atas usaha menyediakan tapak baharu bagi kuil berkenaan.

Penghargaan turut diberikan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran atas komitmen bersama membantu memastikan penyelesaian isu itu dapat dicapai secara harmoni.

Beberapa hari lepas, timbul kegusaran dalam kalangan masyarakat India apabila pihak pengurusan kuil itu mendedahkan Jakel Trading yang merupakan pemilik sebenar tanah kuil berkenaan telah menghantar satu notis tuntut agar segera memindahkan premisnya dalam tempoh tujuh hari. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast