Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bercakap pada sidang selepas selesai mesyuarat pertama Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama Ahli-ahli Parlimen di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Tapak baharu Kuil Pathrakaliamman yang disediakan kerajaan terletak tidak sampai 100 meter dari lokasi asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, ini sekaligus memudahkan penganut Hindu meneruskan amalan keagamaan mereka tanpa perlu berpindah jauh.

Tambahnya, semua kelulusan berkaitan tapak baharu itu telah diperoleh termasuk kelulusan pelan bangunan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada September lalu.

Menurut Hannah, pada Disember lalu, tapak berkenaan telah digazetkan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam, manakala pada 14 Januari lalu, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengeluarkan kebenaran membina bangunan di atas tanah berkenaan.

“Tapak ini sangat hampir dengan lokasi asal, jaraknya sekitar 100 meter sahaja dan boleh diakses dengan berjalan kaki. Ini bagi memastikan penganut tidak terpaksa berpindah ke kawasan yang jauh,” katanya kepada media pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk pemaju serta pengurusan kuil dapat memberikan kerjasama bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara harmoni demi kepentingan semua pihak di Kuala Lumpur. 

Katanya, perbincangan awal melibatkan semua pihak berkepentingan telah diadakan termasuk lawatan ke tapak baharu dan tanah tersebut telah dikenal pasti serta disediakan sepenuhnya.

Namun menurut Hannah, proses pemindahan memerlukan penyelarasan rapi kerana melibatkan kepercayaan dan sensitiviti penganut agama berkenaan.

“Selepas sambutan Thaipusam, kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan kuil bagi menyelaraskan proses perpindahan,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan akan diadakan secara berkala bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar dan dapat diselesaikan secara harmoni.

Dalam pada itu, Hannah merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan pegawai terlibat yang berjaya menyelaraskan penyediaan tapak baharu berkenaan dalam tempoh yang singkat.

“Proses pewartaan dibuat dengan pantas dan lokasi yang begitu dekat ini jarang berlaku. Ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk mencari penyelesaian yang munasabah dan adil,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

DBKL kenal pasti lokasi baharu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast