KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Luqman Nul Hakim Halim, bersama empat orang anaknya, layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Allahyarham Luqman Nul Hakim Halim, 36 tahun, yang bekerja sebagai Polis Bantuan di Genting Sungei Rayat Estate, merupakan pencarum aktif di bawah Skim Lindung Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Semakan Perkeso mendapati caruman terakhir Allahyarham adalah pada Disember 2025, sekali gus mengekalkan status beliau sebagai pencarum aktif, dengan itu, keluarganya layak menerima manfaat penuh susulan tragedi yang berlaku pada 11 Januari lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Nabilah Mohd Ridzuan, 39 tahun, serta empat orang anak lelaki; Lutfan Syawal, Lutfi Syamel, Lutfil Syamin dan Luth Syauqi yang masing-masing berusia antara sembilan bulan hingga sembilan tahun.
Kesemua waris Allahyarham layak menerima Pencen Penakat bulanan berjumlahRM1,493.78 yang akan dibayar kepada balu serta anak-anak mengikut syer masing-masing.
Balu Allahyarham akan menerima faedah pencen bulanan untuk sepanjang hayat, manakala empat anaknya diberikan faedah sama sehingga berusia 21 tahun atau akan dilanjutkan sehingga tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
Selain itu, keluarga turut layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 4.
Tragedi ini berlaku ketika Allahyarham sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat, Johor menaiki bas ekspres selepas menziarahi jenazah ibu tiri di Jitra, Kedah.
Dalam perjalanan di Kilometer 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, bas yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan.
Akibat perlanggaran tersebut, Allahyarham mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang teruk dengan komplikasi penyakit jantung.
Perkeso berkata, tragedi ini menjadi peringatan bahawa pematuhan caruman secara berterusan oleh majikan adalah amat penting bagi memastikan pekerja dan waris mereka menerima perlindungan sosial sewajarnya apabila musibah tidak diduga berlaku. – MalaysiaGazette















