MELAKA – Seorang bekas wartawan mengaku tidak bersalah menerima rasuah lebih RM36,000 dan memalsukan dokumen berkaitan janji penganugerahan gelaran Datuk Seri tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nurfateha Othman, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Elesabet Paya Wan terhadap empat pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam prosiding di Wad Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Besar Negeri Melaka di sini hari ini.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan berikutan tertuduh sedang menerima rawatan dan dimasukkan ke wad hospital berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan berkaitan janji penganugerahan Gelaran Datuk Seri sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka, tiga tahun lalu.
Tindakan itu sebagai dorongan untuk menjanjikan penganugerahan gelaran Datuk Seri, sedangkan tertuduh tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan gelaran tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM25,559.50 antara 23 November 2022 hingga 23 November 2023 melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank milik syarikat isteri kepada ahli perniagaan terbabit.

Bekas wartawan, Nurfateha Othman, 44, diiringi pegawai SPRM menaiki kenderaan khas untuk di bawa ke Hospital Psikiatri Hospital Permai Johor Bahru selepas mengaku tidak bersalah menerima rasuah lebih RM36,000 dan memalsukan dokumen berkaitan janji penganugerahan gelaran Datuk Seri tiga tahun lalu dalam prosiding mahkamah di Wad Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Besar Negeri Melaka hari ini.
Wanita itu turut didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM2,440 antara 13 Disember 2022 hingga 1 Jun 2023 melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank peribadi milik isteri ahli perniagaan berkenaan.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM8,825 antara 28 Disember 2022 hingga 2 November 2023 ke dalam akaun bank miliknya melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank peribadi individu yang sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Melaka dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan keempat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana didakwa telah memberikan dokumen palsu pada September 2023.
Dokumen iaitu Surat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023, kepada ahli perniagaan terbabit dengan niat untuk menipu, sedangkan tiada sebarang pengurniaan sebenar dibuat.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda bagi pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Sa’ari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Psikiatri Hospital Permai Johor Bahru untuk pemerhatian bagi mendapatkan perakuan bertulis daripada pengarah perubatan hospital berkenaan mengenai tahap kesihatannya. – MalaysiaGazette
















