GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari pertama yang bermula tenang pada sebelah pagi menjadi kecoh apabila sesi petang bersambung ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Insiden itu bermula apabila isu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa bertemu menantunya di luar negara luar negara dibangkitkan lagi oleh seorang ahli Parlimen kerajaan, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

Beliau sebelum ini pernah membuat kenyataan sama pada persidangan Dewan Rakyat, November lalu.

Namun kali ini Poay Tiong menuduh wakil rakyat Pas termasuk Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menyokong rasuah gara-gara mempertikai kenyataannya itu.

Kenyataan yang dibuat itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas bangkit meminta beliau menarik balik kenyataan yang menyebut individu didakwa melakukan rasuah sebagai menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka menyifatkan tuduhan adalah sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen Pagoh tersebut dan mendesak Poay Tiong menarik kenyataan terbabit selepas mengambil kira ingatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini sudah membuat ketetapan supaya tidak perlu mengungkit isu yang menyebut individu dikaitkan rasuah itu sebagai anak menantu Pagoh.

Suasana tikam lidah itu berlaku lebih 20 minit sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong, mengarahkan Pengerusi DAP Melaka itu menarik semula kedua-dua kenyataannya itu.

Poay Tiong akhirnya menarik semula kenyataannya yang menyebut individu melakukan rasuah itu sebagai menantu Pagoh.

Alice sekali lagi menetapkan supaya Poay Tiong menarik kenyataan terbabit sebelum Ahli Parlimen Kota Melaka itu menyambung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast