KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak mengambil hati dengan apa sahaja kecaman dan sindiran selepas berakhirnya Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Kata penghibur berusia 47 tahun itu, dia sedar akan ada sahaja mana-mana pihak yang sentiasa mencari kesalahan setiap kali dia selesai membuat konsert.
Namun kata ibu kepada dua anak itu, apa yang penting, peminat dan penonton yang hadir berpuas hati dan gembira susulan konsert itu dapat dijayakan dengan lancar dan mendapat sambutan luar biasa.
“Itu adalah perkara yang biasa yang saya hadapi setiap kali saya buat konsert. Mereka akan mencari di mana silap. Kadang-kadang tak ada apa-apa yang nak diperkatakan tetapi orang tetap perkatakan.
“Yang penting, 65,000 orang yang hadir puas hati, gembira dan konsert saya berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang luar biasa.
“Itu lebih bermakna daripada cerita-cerita yang yang tak sepatutnya,” katanya kepada MalaysiaGazette pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya ke-47 dan Apresiasi Media baru-baru ini.

Sebelum ini, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menafikan sindiran yang dimuat naik di Instastorynya ditujukan terhadap konsert Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Iman dalam kenyataan berkata, perkongsian tersebut secara terang-terangan tidak merujuk kepada konsert Biduanita Negara itu yang disifatkannya sebagai penganjuran hebat dan penuh bersejarah.
Siti sebelum ini memberi respons terhadap perkongsian seorang peminat yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan seorang penganjur acara yang dipercayai Iman Tang gara-gara kenyataannya yang dianggap seolah-olah mengkritik konsert terbaharu penyanyi tersohor negara itu.
Pada masa sama, konsert tersebut turut kecaman dan perdebatan hukum halal dan haram terutamanya apabila tarikhnya dekat dengan bulan Ramadan atau Syaaban selain melibatkan isu aurat wanita.
Pelakon, Fasha Sandha tampil membela dan menegaskan ia merupakan konsert amal dan hanya tuhan yang berhak menghakimi. – MalaysiaGazette

















