KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor digesa meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 atau membuat enakmen baharu dalam menangani kebimbangan rakyat berhubung isu projek ternakan tersebut.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Yusfarizal Yusoff berkata, ia termasuk mewajibkan kaedah Modern Pig Farming (MPF) serta memastikan tindakan tegas dikenakan sekiranya mana-mana syarat ternakan dilanggar.
Selain itu, menurut beliau, pindaan atau enakmen baharu juga bagi memastikan hukuman tinggi sekiranya berlaku pencemaran dengan penternak membayar semua kos pemuliharaan selain mewajibkan dan mengetatkan biosekuriti ladang penternakan, pengangkutan dan pemprosesan.
“Pindaan ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Kerajaan Negeri Selangor merancang penternakan babi pada skala mega menggunakan teknologi zero discharge,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yusfarizal yang juga seorang peguam, walaupun usaha untuk menukar ladang penternakan babi secara tradisional kepada MPF adalah satu usaha yang baik namun ia tidak boleh dibuat secara sambil lewa tanpa ketegasan.
Di Selangor, kata beliau, tidak ada undang-undang yang memperketatkan syarat tentang MPF, dengan Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Selangor 1991 hanya mengandungi seksyen-seksyen berkenaan penternakan tradisional.
Jelasnya, pindaan yang dibuat pada tahun 2010 pula adalah hanya bersifat takrifan.
“Melalui enakmen sedia ada, sekiranya berlaku pencemaran daripada ladang ternakan babi, denda maksimum yang boleh dikenakan adalah hanya RM10,000.
“Dan melalui pindaan 2010, kesalahan-kesalahan boleh dikompaun pula,” katanya.
Sementara itu, Yusfarizal turut berkongsi beberapa wabak kesihatan melibatkan penternakan babi antaranya Virus Nipah yang dikesan di ladang penternakan babi di Ipoh, Perak sekitar tahun 1998-1999.
Menurutnya, wabak itu merebak dengan teruk sehingga ke Kampung Sungai Nipah, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dan menyebabkan kematian 105 orang, manakala hampir sejuta ekor babi terpaksa dihapuskan membabitkan operasi besar-besaran pihak berkuasa.
Di luar negara pula, ujar beliau, wabak African Swine Fever (ASF) menyerang ladang berteknologi tinggi di Dangjin, Korea Selatan pada Mac tahun lalu, serta menyerang ladang komersial berskala besar dan berteknologi tinggi di Gangneung, Daerah Gangwon, baru-baru ini.
“Wabak terkait babi ini tidak mengenal teknologi. Walaupun sistem ladang telah dilengkapi teknologi terkini, wabak tetap boleh menular. Antara sebabnya ialah makanan babi yang tercemar.
“Fakta-fakta ini membuktikan satu perkara, bahawa penternakan babi adalah berisiko sangat tinggi.
“Sebab itulah ia perlu diuruskan dengan sangat ketat. Tidak boleh cut-corners ataupun tutup sebelah mata,” katanya. – MalaysiaGazette
















