PUTRAJAYA – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu masih mengharapkan jawapan siapa individu yang memberikan arahan supaya menamatkan riwayat model Mongolia itu meskipun sudah 20 tahun kejadian berlaku.
Bapanya, Dr. Shaariibuu Setev berkata, beliau mahu mendengar sendiri daripada bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri untuk meleraikan persoalan yang timbul ekoran kematian anaknya.
“Apabila kebenaran terbukti di hadapan mahkamah, maka tiada cari lain untuk menyatakan permohonan maaf dan saya berharap untuk mendapat jawapannya,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Shaariibuu selanjutnya menyatakan, beliau tidak datang ke negara ini untuk mendapatkan sejumlah wang, namun untuk menuntut keadilan sejak 20 tahun lalu.
Ujarnya, beliau mengharapkan satu permohonan maaf yang ikhlas dan pengakuan berhubung salah laku terhadap anaknya.
Kata bapa mendiang, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini turut diikuti rapat oleh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pihak yang sepatutnya meminta maaf kepadanya, bukanlah rakyat Malaysia, walaupun mereka telah menyatakan permohonan maaf yang ikhlas bagi pihak kerajaan.
“Permohonan maaf secara rasmi harus ditujukan kepada kerajaan Mongolia dan rakyat Mongolia, bukan sahaja kepada saya,” demikian menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan memberikan ganti rugi berjumlah RM1.41 juta selepas mengurangkannya daripada RM5 juta yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi, tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda terhadap kuantum dalam kes saman berkaitan kematian Altantuya.
Selepas menyemak jumlah kuantum, mahkamah memberikan ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan kematian RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga tersebut.
Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang difailkan keluarga itu terhadap empat defendan iaitu kerajaan, Abdul Razak, Azilah dan bekas anggota UTK, Koperal Sirul Azhar Umar berhubung kematian Altantuya pada 2006. – MalaysiaGazette














