Zainal Fitri memantau Operasi Gempur Kutu Sampah di Terminal Pengangkutan Awam JB Sentral, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 55 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) sudah dikeluarkan terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata terutama di sekitar pintu masuk sempadan darat ke negeri ini dalam bulan ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan 27 warga tempatan, lapan pelancong serta 20 pekerja warga asing.

“Pengeluaran notis itu merupakan pendekatan drastik bagi memastikan tahap kebersihan di kawasan yang menjadi nadi pengangkutan awam dan pintu masuk utama ke pusat bandar berada pada tahap tertinggi.

“Jangan kerana puntung rokok atau plastik makanan, imej negara tercalar di mata pelancong lain.

“Oleh itu, SWCorp menegaskan semua pihak perlu sedar bahawa Malaysia bukanlah tempat untuk membuang sampah sesuka hati,” katanya dalam sidang akhbar sempena Operasi Gempur Kutu Sampah di Terminal Pengangkutan Awam JB Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, SWCorp sudah melengkapkan kertas pertuduhan dan akan menuduh dua warga asing di Mahkamah Majistret di sini Jumaat ini mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Sementara itu, Zainal Fitri berkata, operasi berkenaan membawa mesej jelas bahawa SWCorp tidak akan berkompromi terhadap mereka yang membuang sampah merata-raya sekali gus mencemarkan imej negeri.

Malah memandangkan Johor dijangka menerima limpahan pengunjung dari dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Johor 2026, SWCorp mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam khususnya di JB Sentral agar sentiasa menjaga kebersihan.

“Jangan biarkan sikap tidak bertanggungjawab ini menjadi penghalang kepada usaha memartabatkan Johor sebagai destinasi bertaraf dunia.

“Kami di SWCorp tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa sahaja demi memastikan tiada lagi individu yang berani membuang sampah termasuk sampah kecil di tempat awam,” katany

Mengenai operasi hari ini, beliau berkata, antara sampah kecil yang dibuang puntung rokok, botol minuman, tisu dan kertas.

“Alasan diberikan seperti ‘saya bukan buang tetapi kumpul dulu’, itu memang tidak boleh diterima. Apa pun alasan, ia hanya untuk mengelak sahaja.

“Peruntukan dah ada. Papan tanda sudah ada, amaran sudah ada dan mereka pun tahu ada penguatkuasaan, tinggal patuh sahaja,” katanya.

Zainal kesal kerana tabiat membuag sampah masih diamalkan sedangkan tong sampah sudah pun disediakan pihaknya.

Tambahnya, sampah tetap dibuang orang awam walaupun tong sampah ada di sebelah atau berdekatan mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast