JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang pemilik kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan rasuah untuk memudah cara urusan kemasukkan warga Indonesia ke Malaysia pada 2023 hingga 2025.
Tertuduh, Harizam Mohamed, 58, Md Azhar Jamal, 40, dan Rizdzal Mohd Yassin, 42, yang merupakan pegawai imigresen di Pasir Gudang mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan setiap seorang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Harizam telah menerima suatu suapan iaitu wang sebanyak RM100 daripada Harizan Zaki Zulkefli sebagai dorongan iaitu bagi memudah cara urusan kemasukkan warga Indonesia ke Malaysia bernama Muasih.
Tuduhan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Imigresen Pasir Gudang pukul 7 petang pada 28 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM100 di Terminal Feri Pasir Gudang pada hari dan individu yang sama juga bagi memudahkan urusan kemasukkan warga Indonesia terbabit.
Tertuduh kedua, Rizdzal bagi pertuduhan pertama didakwa menerima suapan wang tunai RM200 daripada Ungku Mohd Hariff Ungku Mansor iaitu ejen tiket syarikat Keyport agencies Sdn Bhd sebagai dorongan memudah cara urusan kemasukkan seorang warga Indonesia ke Malaysia.
Tuduhan tersebut didakwa dilakukan di sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang pukul 7 malam pada 28 Ogos 2024.
Bagi pertuduhan kedua, Rizdzal didakwa menerima suatu suapan wang tunai RM1,500 daripada individu yang sama untuk tidak melakukan pemeriksaan yang menyeluruh ke atas dokumen perjalanan seorang warga Indonesia.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di tempat yang sama antara pukul 2 hingga 3 petang pada Ogos 2023.
Tertuduh ketiga, Md Azhar didakwa dengan 14 pertuduhan melibatkan jumlah suapan RM28,600 yang dilakukan di Pejabat Imigresen Pasir Gudang antara 16 Julai 2024 hingga Februari 2025.
Sementara tertuduh keempat iaitu pemilik restoran, Haslan Hazilah, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan wang tunai berjumlah RM1,200 daripada Muhamad Asyraf Annas Azmi sebagai dorongan dan orang tengah untuk membantu memudahcara urusan keluar masuk warga Indonesia iaitu Muasih.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah kedai makan Omak Tri Corner bersebelahan CIMB Cawangan Muar, Jalan Sulaiman, Muar pada 11 November 2024.
Bagi perbuatan menerima rasuah itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd Shukari; Fazal Lisam Abidin dan Muhd Faizul Kamaro Zaman.
Sementara Hairizam diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin, Haslan diwakili peguam Nurashidah Md Razip, Md Azhar diwakili peguam Abd Rahim Ali dan Ridzal diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Mahkamah kemudian membenarkan Md Azhar diikat jamin sebanyak RM10,000 manakala Ridzal, Hairizam dan Haslan masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 dan 25 Februari depan. – MalaysiaGazette
















