Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah sekiranya terus dilayan sebagai perkara yang boleh dirunding, dikecualikan atau dilonggarkan akan melahirkan generasi yang kehilangan akar sejarahnya sendiri.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia juga akan menyebabkan negara tidak memiliki bahasa perpaduan yang menyatukan selain pudar rasa kebersamaan sebagai satu rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kepelbagaian aliran pendidikan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip kenegaraan.

“Banyak negara majmuk di dunia telah berjaya mewajibkan bahasa kebangsaan dan sejarah negara sebagai teras pendidikan. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, agama dan aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan mengambil subjek bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Menurut Anwar, menerusi langkah berkenaan kontroversi berkaitan isu bahasa Melayu dan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, Pembela menuntut supaya satu sukatan; standard dan penilaian bagi bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia dilaksanakan di semua sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta.

Selain itu, tambahnya, kepujian dalam bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia perlu dijadikan syarat mandatori dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam masa sama, ujar beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu melaksanakan penguatkuasaan tegas dan pemantauan berterusan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan politik, ekonomi, atau kepentingan kelompok.

Sementara itu, Zainul Rijal mengingatkan sebarang percubaan mewujudkan standard berbeza mengikut aliran sekolah bukan sahaja bercanggah dengan falsafah Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, kata beliau, ia juga merupakan satu pengkhianatan terhadap usaha membina identiti dan kesetiaan nasional seperti termaktub dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Menurutnya, Pembela tidak boleh menerima keadaan yang mana pelajar warga negara Malaysia menamatkan persekolahan tanpa penguasaan kukuh bahasa Melayu.

Jelas beliau, pihaknya juga tidak boleh menerima sejarah Malaysia diajar secara cetek, terpilih atau diubah suai mengikut selera sesuatu institusi.

Malah, tegasnya, situasi generasi muda lahir dan membesar di Malaysia tetapi buta dan tuli tentang asas sejarah, kontrak sosial dan pembentukan negara ini juga tidak wajar berlaku.

“Hal ini bukan sekadar isu akademik tetapi juga persoalan keselamatan negara, jati diri bangsa, dan ketahanan perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. ya. Bahasa Negara perlu ditempatkan pada tempat teratas. tidak ada sesiapa boleh minta sekolah ya dikecuLikan atau hanyabperlu belajar sedikit Saja. itubtaknadil dan satu bentuk diskriminasi. Bahasa Negara perlu dilayan setara oleh semua warga negara di seluruh sekolah Malaysia.

Comments are closed.