PUTRJAYA – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 sebagai dokumen strategik yang amat penting kerana memberi kesan langsung kepada mahasiswa, institusi pendidikan tinggi serta kebolehpasaran graduan.
Lantaran itu, pelaksanannya menuntut kefahaman jelas dan penglibatan aktif mahasiswa dalam pelaksanaannya.
Presiden MPPK, Muhammad Haykal Halid berkata, pihaknya telah meneliti secara menyeluruh RPTM 2026-2035 yang dibentangkan kerajaan sebagai pelan hala tuju pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, MPPK berpandangan penglibatan mahasiswa di peringkat akar umbi amat kritikal bagi memastikan pelaksanaan rancangan berkenaan benar-benar selari dengan keperluan sebenar golongan tersebut.
“Sehubungan itu, MPPK telah memohon dan mengadakan satu pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi bagi menyampaikan pandangan, cadangan serta keprihatinan mahasiswa berhubung pelaksanaan RPTM 2026-2035,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini.
Muhammad Haykal, berkata, hasil pertemuan berkenaan menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju untuk mengadakan satu sesi khas libat urus bersama mahasiswa dari seluruh Malaysia yang melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) setiap universiti.
“Sesi khas ini bertujuan memperjelaskan kandungan RPTM, hala tuju pelaksanaan serta memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan secara langsung kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, MPPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas komitmen berterusan dalam mendengar suara serta aspirasi mahasiswa.
Ujarnya, MPPK turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam menjayakan agenda libat urus mahasiswa yang bakal dilaksanakan.
“MPPK sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa kekal komited untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan antara mahasiswa dan pembuat dasar demi memastikan pendidikan tinggi negara berkembang secara inklusif, progresif dan berteraskan suara mahasiswa,” katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, pertemuan beliau bersama MPP yang mewakili universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta sebahagian universiti swasta adalah bagi membincangkan langkah susulan pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia yang dilancarkan oleh perdana menteri semalam.
Katanya, pertemuan tersebut diadakan atas inisiatif segera pihak mahasiswa yang mahu mendapatkan penjelasan serta menyumbang pandangan terhadap pelaksanaan pelan berkenaan, khususnya melibatkan peranan pelajar sebagai antara komponen terpenting dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, cabaran utama selepas peluncuran pelan ini ialah bagaimana kita melaksanakannya. Pelaksanaan itu melibatkan para mahasiswa dalam konteks universiti, politeknik dan kolej komuniti,” katanya.
Zambry menjelaskan, kehadiran presiden-presiden MPP, kesatuan pelajar dan kesatuan mahasiswa itu adalah sebagai wakil sah yang dipilih oleh institusi masing-masing, sekali gus mencerminkan suara akar umbi mahasiswa di seluruh negara.
Beliau berkata, pertemuan terbuka itu juga bagi membolehkan perbincangan awal mengenai beberapa langkah strategik dalam memastikan pelaksanaan pelan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.
“Antara persetujuan utama yang dicapai ialah penganjuran satu program khas melibatkan seluruh kepimpinan mahasiswa universiti, dengan setiap universiti diwakili kira-kira 20 pimpinan utama, melibatkan kira-kira 20 universiti awam, selain penyertaan politeknik serta sebahagian universiti swasta.
“Melalui program ini, kita mahu berinteraksi secara santai dan terbuka, mendengar pandangan mereka serta mendapatkan maklum balas terus daripada mahasiswa ke arah menjayakan pelaksanaan pelan pendidikan ini,” katanya.
Menjawab pertanyaan wartawan mengenai tarikh pertemuan tersebut, Dr. Zambry berkata ia dijangka diadakan dalam masa terdekat, berkemungkinan pada awal Februari depan. – MalaysiaGazette















