NARA -Lelaki bersenjata yang didakwa membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, lebih tiga tahun selepas pembunuhan pada siang hari itu mengejutkan dunia.
Ketika menjatuhkan hukuman di sebuah mahkamah di bandar Nara, Hakim Shinichi Tanaka berkata, Tetsuya Yamagami, 45, telah “bertekad” untuk menembak Abe.
Dia “menembak dari belakang dan melakukannya ketika (Abe) paling tidak menyangka” – menunjukkan perbuatannya yang “keji dan amat berniat jahat”, kata hakim itu.
Orang ramai beratur sejak pagi Rabu untuk mendapatkan tiket masuk ke bilik mahkamah, mencerminkan minat awam yang tinggi terhadap perbicaraan tersebut.
Yamagami berdepan pertuduhan termasuk membunuh dan melanggar undang-undang kawalan senjata api kerana menggunakan senjata buatan sendiri untuk membunuh pemimpin paling lama berkhidmat di Jepun itu semasa ucapan kempennya pada Julai 2022.
Apabila perbicaraan bermula pada Oktober, Yamagami mengaku bersalah atas tuduhan membunuh. Namun, beliau menafikan beberapa pertuduhan lain, menurut laporan media.
Di bawah sistem perundangan Jepun, perbicaraan tetap diteruskan walaupun tertuduh mengaku bersalah.
Hakim Tanaka berkata, kematian Abe membawa “akibat yang serius”, sambil menambah, balunya “masih menanggung kesedihan yang mendalam”.
Pendakwa berhujah, motif Yamagami untuk membunuh Abe berpunca daripada hasratnya untuk mencemarkan nama Gereja Unifikasi.
Perbicaraan yang berlangsung berbulan-bulan itu menyorot bagaimana derma membuta tuli ibunya kepada gereja tersebut telah menyebabkan keluarganya muflis, serta bagaimana beliau mula percaya “ahli politik berpengaruh” membantu mazhab itu berkembang.
Abe pernah berucap dalam acara yang dianjurkan oleh beberapa kumpulan berkaitan gereja berkenaan.
Yamagami “berfikir bahawa dengan membunuh seseorang yang berpengaruh seperti bekas Perdana Menteri Abe, dia dapat menarik perhatian awam terhadap Gereja itu dan menyemarakkan kritikan orang ramai,” kata seorang pendakwa kepada mahkamah daerah di wilayah Nara, Jepun barat, pada Oktober.
Gereja Unifikasi ditubuhkan di Korea Selatan pada 1954, dan ahlinya digelar “Moonies”, sempena nama pengasasnya, Sun Myung Moon.
Dalam rayuan untuk meringankan hukuman, pasukan pembelaan menegaskan, kehidupan awal Yamagami dibelenggu “penderaan agama” akibat kepercayaan melampau ibunya terhadap Gereja Unifikasi.
Dalam keadaan tertekan selepas suaminya membunuh diri — dan ketika anak lelakinya yang lain pula menghidap penyakit serius — ibu Yamagami menyerahkan seluruh asetnya kepada Gereja bagi “menyelamatkan” keluarganya, kata peguam Yamagami, sambil menambah bahawa jumlah derma itu akhirnya mencecah sekitar 100 juta yen (AS$1 juta pada ketika itu).
Yamagami terpaksa meninggalkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pada 2005, beliau cuba membunuh diri sebelum abangnya pula meninggal dunia akibat bunuh diri.
Siasatan selepas pembunuhan Abe membawa kepada pendedahan berantai mengenai hubungan rapat antara Gereja tersebut dan ramai penggubal undang-undang konservatif dalam Parti Demokratik Liberal yang memerintah, sehingga menyebabkan empat menteri meletak jawatan.
Pada 2020, Yamagami mula membuat senjata api secara buatan tangan, satu proses yang melibatkan sesi ujian tembakan secara teliti di kawasan pergunungan terpencil.
Ini menunjukkan sifat serangan terhadap Abe yang sangat “dirancang rapi”, kata pendakwa.
Pembunuhan itu juga menjadi panggilan kesedaran kepada sebuah negara yang mempunyai antara undang-undang kawalan senjata api paling ketat di dunia.
Pendakwa memohon hukuman penjara seumur hidup terhadap Yamagami, menyifatkan pembunuhan itu sebagai “tidak pernah berlaku dalam sejarah pascaperang negara ini” serta menekankan “kesan yang amat serius” terhadap masyarakat, menurut media tempatan.
Versi hukuman penjara seumur hidup di Jepun masih membuka kemungkinan parol, namun pada hakikatnya, menurut pakar, ramai banduan meninggal dunia ketika masih menjalani hukuman. – Agensi
















