[Gambar fail] Antara longgokan sisa sampah elektronik (e-waste) bagi pemprosesan dan pelupusan bahan bahan mentah yang terdapat di kilang yang telah diserbu pada operasi Op X di sekitar Buloh Kasap, Segamat, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian serius terhadap isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) berikutan pelaksanaan Op Nature yang dijalankan serentak oleh SPRM Negeri Selangor dan SPRM Negeri Sembilan semalam di dua lokasi iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Selain siasatan berkaitan kesalahan jenayah rasuah, SPRM turut menumpukan kepada aspek tatakelola bagi mengenalpasti punca dan kelemahan yang menyumbang kepada isu pengurusan e-waste.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, menegaskan bahawa kelemahan tatakelola yang tidak ditangani dengan baik akan membuka ruang kepada perlakuan jenayah rasuah serta pengimportan haram e-waste untuk terus berulang.

“SPRM telah membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini berlarutan. Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut merugikan hasil pendapatan negara,” ujar beliau.

Antara isu awal yang dikenal pasti adalah berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste. Bagaimanapun, ia hanya dapat disahkan selepas penyiasatan tatakelola yang lengkap diselesaikan.

Dato’ Azmi turut menambah bahawa SPRM tidak menolak kemungkinan isu sama berlaku di negeri-negeri lain, dan penyiasatan tatakelola akan diperluaskan ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.

SPRM akan bekerjasama rapat dengan agensi berkepentingan termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Pasukan Petugas Khas E-Waste yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Azam Baki. SPRM berharap setiap agensi yang terlibat dapat memainkan peranan dengan lebih tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast