KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad kurang bersetuju dengan konsep ujian saringan sebagai syarat memasuki tahun satu untuk anak-anak berumur enam tahun bermula tahun depan.
Ini kerana, menurut beliau, ia mempunyai kesan psikologi dan emosi yang negatif kepada anak-anak yang ditolak atau diberitahu mereka tidak berjaya untuk masuk ke tahun satu.
Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM menambah, anak-anak yang masih kecil itu pastinya sukar menerima hakikat mereka ditolak hanya kerana tidak layak.
“Belum pun mula bersekolah, mereka telah melalui pengalaman ‘ditolak’ oleh sistem pendidikan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu ketika pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula tahun depan, kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.
Sementara itu, Anuar berkata, dasar baharu tersebut turut menimbulkan kebimbangan ibu bapa yang bersedia untuk menghantar anak-anak mereka pada usia enam tahun ke sekolah khususnya sama ada bilangan bilik darjah dan guru mencukupi untuk menampung pertambahan murid.
Menurutnya, ibu bapa tentunya mahukan hari pertama persekolahan anak-anak mereka bermula dengan lancar dan selesa, bukannya berdepan pengalaman pahit dengan keadaan kelas yang sesak serta guru yang terbeban dengan penambahan kerja.
“KPM sebaiknya berkongsi maklumat terperinci dan berkala dengan rakyat, apakah perancangan KPM untuk menguruskan dua kebimbangan ini?
“Bersediakah KPM untuk uruskan? Apakah KPM perlukan masa yang lebih? Mungkin sebaiknya dimulakan pada 2028?” katanya.
Tambah beliau, sekiranya KPM tidak benar-benar bersedia, maka adalah lebih baik untuk dimaklumkan lebih awal dan pastinya dapat difahami oleh golongan ibu bapa.
“Asalkan jangan dibiarkan dua persoalan ini tidak terjawab, saya bimbang semakin lama semakin merebak pula spekulasi yang tidak benar, dan itu semua hanya akan meningkatkan kebimbangan ibu bapa.
“Nanti KPM juga yang dipersalahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















