Dr. Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menjelaskan status semasa Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sama ada ia diiktiraf atau tidak, dan jika diiktiraf, apakah syarat-syaratnya.

Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, Naib Presiden MCA berkata, penjelasan ini perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan kontroversi berterusan dalam kalangan rakyat, khususnya ketika dasar pendidikan terus mencetuskan spekulasi meluas.

Menurut beliau, dasar pndidikan yang memberi kesan kepada masa depan 20,000 orang pelajar dan tidak seharusnya bersifat kabur.

Namun, dakwanya,, ketidaktentuan telah timbul akibat kenyataan yang tidak konsisten daripada menteri-menteri berbeza.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pelajar Malaysia dari sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa atau sekolah agama perlu menduduki mata pelajaran bahasa Melayu (BM) dan sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, perkara ini hanya digambarkan sebagai syarat asas, tanpa kenyataan jelas sama ada ia bermaksud pengiktirafan rasmi terhadap UEC.

“Akibatnya, kenyataan beliau ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai pengiktirafan bersyarat, namun tanpa rangka dasar yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seterusnya, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula mengumumkan syarat tambahan dengan menyatakan pelajar sekolah persendirian Cina bukan sahaja perlu lulus BM dan sejarah, malah perlu menduduki dan lulus sekurang-kurangnya enam mata pelajaran SPM secara keseluruhan.

Pendekatan ini, dakwanya berbeza daripada kenyataan perdana menteri, sekali gus menambahkan lagi kekeliruan awam.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir membincangkan isu ini dari sudut kemasukan ke universiti, dengan menyatakan pemegang UEC perlu lulus BM dan sejarah dalam SPM sebagai prasyarat untuk memasuki universiti awam.

Tetapi, Zambry tidak pula mengesahkan secara jelas sama ada pelajar yang memenuhi syarat tersebut benar-benar layak untuk diterima masuk.

Perbezaan pendirian ini menunjukkan kerajaan masih belum mencapai kata sepakat.

“Kenyataan yang tidak selaras daripada tiga pemimpin kerajaan telah menimbulkan kekeliruan meluas. Pada masa yang sama, tiada seorang pun daripada mereka yang secara jelas mengumumkan pengiktirafan terhadap UEC

“Sebaliknya, pelajar dibiarkan berdepan dengan syarat kemasukan yang separa dan berbeza-beza, menyebabkan bukan sahaja mereka, malah ibu bapa dan pendidik turut berada dalam keadaan tidak pasti dan terkesan. Keadaan ini jelas mencerminkan dasar pendidikan yang kurang jelas dan tidak terselaras,” ujar beliau.

Jeck Seng berkata, sekiranya kerajaan benar-benar mengiktiraf UEC, syarat-syaratnya mesti ditakrifkan dengan jelas dan dilaksanakan secara konsisten, bukannya membenarkan kementerian berbeza mengenakan keperluan yang berlainan.

Menurut beliau, dasar pendidikan membentuk pembangunan bakat masa depan negara dan tidak wajar dikaburkan oleh pertimbangan politik atau kelemahan penyelarasan antara kementerian.

Kekaburan yang berpanjangan akan menjejaskan keyakinan terhadap sistem pendidikan serta menyukarkan pelajar dan ibu bapa dalam merancang hala tuju pendidikan keluarga mereka, tambahnya.

Ahli Parlimen Tanjung Piai ini berkata, pengiktirafan UEC bukan sekadar isu pendidikan, tetapi juga melibatkan keadilan sosial dan daya saing negara.

” Dengan tiga pemimpin kerajaan kini mengemukakan syarat yang berbeza, jelas bahawa dasar ini masih belum dimuktamadkan. Kerajaan mesti segera menyatukan pendirian dan memberikan jawapan yang jelas serta muktamad agar pelajar dan ibu bapa tidak lagi terpaksa berdepan dengan masa depan pendidikan yang tidak menentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast