MELAKA – Kes video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid sedang menonton video lucah dalam pejabat masjid di Bukit Baru, di sini akan dibawa ke peringkat mesyuarat untuk tindakan lanjut.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu akan dibincangkan secara rasmi dalam Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) minggu hadapan.

“Saya akan bawa isu ini untuk apa-apa tindakan yang perlu dalam mesyuarat jawatankuasa masjid atau JKTU minggu hadapan,” katanya ringkas.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 1 minit 59 saat di media sosial memaparkan beberapa individu berjalan dari ruang solat menuju ke pejabat masjid berkenaan.
Rakaman menunjukkan, seorang lelaki didakwa setiausaha masjid yang turut dikaitkan dengan sebuah parti politik sedang leka menonton video lucah menerusi komputer meja.
Individu berkenaan kemudian mengetuk tingkap dan pintu pejabat sebelum dibuka lelaki berkenaan namun menafikan
melakukan sebarang perbuatan salah.
Lelaki yang merakam video berkenaan memaklumkan tujuan sebenar membuat rakaman adalah sebagai bukti kejadian yang berlaku pada jam 9.13 pagi 27 Disember lalu.
“Ini masjid tau. Dua individu yang bersama saya adalah saksi nikah kerana ada pengantin nak nikah pagi ini. Rakaman ini bukan edit atau AI (teknologi kecerdasan buatan),” jelasnya.
Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengecam perbuatan mendedahkan identiti serta aib suspek dan sepatutnya diselesaikan mengikut saluran undang-undang. – MalaysiaGazette
















