KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan Ketua Pengarang dan Editor Dalam Talian China Press bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataannya berkata, berapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkait Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.
Ia khususnya berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.
Menurut MCMC, penelitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Sultan Ibrahim, sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional.
“MCMC memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Titah Yang di- Pertuan Agong dan perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti dan mematuhi prinsip kewartawanan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Datuk M Kumar memaklumkan, Bukit Aman memanggil dan merakam percakapan Ketua Editor dan Sub Editor China Press untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN















