WASHINGTON – Amerika Syarikat secara rasmi telah menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menyebabkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu kehilangan salah satu penyumbang dana terbesarnya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menandatangani perintah eksekutif yang menandakan penarikan diri tersebut setahun lalu, selepas mengkritik organisasi itu sebagai terlalu “berpihak kepada China” semasa pandemik Covid-19.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat (HHS) menyatakan keputusan itu dibuat berikutan dakwaan “salah pengendalian” pandemik oleh WHO, kegagalan untuk melakukan pembaharuan, serta pengaruh politik daripada negara-negara anggota.
WHO menolak dakwaan tersebut dan Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tindakan Washington diri itu merupakan satu kerugian kepada Amerika Syarikat dan juga dunia.
Organisasi itu menegaskan peranannya dalam usaha global memerangi polio, HIV/AIDS, mengurangkan kematian ibu, serta pelaksanaan perjanjian antarabangsa kawalan tembakau.
Susulan pandemik, negara-negara anggota WHO telah bekerjasama untuk mewujudkan satu perjanjian pandemik antarabangsa yang bertujuan mencegah, membuat persediaan dan memberi respons terhadap pandemik pada masa hadapan, termasuk perkongsian vaksin dan ubat-ubatan secara lebih adil.
Perjanjian tersebut akhirnya dipersetujui pada April tahun lalu oleh semua negara anggota WHO kecuali Amerika Syarikat.
Washington sebelum ini merupakan antara penyumbang dana terbesar WHO, namun tidak membayar yuran keahlian bagi tahun 2024 dan 2025, yang telah menyebabkan berlakunya pemberhentian kerja besar-besaran dalam organisasi itu.
Walaupun peguam WHO menyatakan Amerika Syarikat bertanggungjawab untuk melunaskan tunggakan yang dianggarkan berjumlah AS$260 juta (£193 juta), Washington berkata, ia tidak melihat sebarang sebab untuk berbuat demikian.
Kerajaan Amerika Syarikat menyatakan semua pembiayaan kerajaan AS kepada WHO telah dihentikan, kakitangan dan kontraktor AS telah dipanggil pulang dari ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland serta pejabatnya di seluruh dunia, dan ratusan penglibatan AS dengan WHO telah digantung atau ditamatkan.
“WHO telah mencemarkan dan merosakkan segala yang telah dilakukan oleh Amerika untuknya,” menurut satu kenyataan bersama Setiausaha Kesihatan AS, Robert F Kennedy, dan Setiausaha Negara, Marco Rubio.
Mereka mendakwa organisasi itu telah “meninggalkan misi terasnya dan berulang kali bertindak bertentangan dengan kepentingan Amerika Syarikat”, termasuk kegagalan memulangkan bendera Amerika yang ditempatkan di ibu pejabatnya di Geneva.
“Pada masa hadapan, penglibatan Amerika Syarikat dengan WHO akan dihadkan semata-mata untuk melaksanakan proses penarikan diri dan melindungi kesihatan serta keselamatan rakyat Amerika,” tambah mereka.
Jabatan itu menyatakan Amerika Syarikat akan menjalinkan hubungan dua hala dengan negara lain bagi memastikan pemantauan penyakit dan perkongsian patogen, namun tidak dapat memberikan maklumat mengenai negara-negara tertentu yang terlibat setakat ini.
WHO pada Jumaat berkata, penarikan diri Amerika Syarikat akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutifnya yang akan datang dari 2 hingga 7 Februari.
Penarikan diri AS daripada WHO berpotensi menyebabkan satu perlima daripada bajet organisasi itu hilang. – Agensi
















