KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menolak Rang Undang Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
Menurut beliau, tindakan itu perlu diambil jika cadangan penambahbaikan hasil daripada konvensyen PSB yang dianjurkan UMNO pada Oktober tahun lalu tidak dimasukkan di dalam RUU tersebut.
“Kita pernah sepakat untuk menolak sebelum ini, maka tiada alasan dan keperluan untuk kita meneruskan RUU yang sama pada kali ini.
“Rakyat melihat dan menilai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Konvensyen PSB anjuran Pasukan Khas UMNO menuntut pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat tidak diteruskan sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Konvensyen itu turut berpandangan draf RUU PSB sedia ada mengandungi terlalu banyak kelompongan dan peruntukan yang tidak meyakinkan.
Selain itu, konvensyen itu turut berpandangan RUU PSB sedia ada gagal menangani kegusaran utama para pemilik hartanah dan tidak memberikan jaminan perlindungan yang secukupnya.
Turut diusulkan menerusi konvensyen itu adalah supaya sebuah agensi kerajaan ditubuhkan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar (redevelopment), penjanaan semula bandar (regeneration) dan penyenggaraan semula bandar (refurbishment).
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk RUU PSB bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT bertekad meneruskan pembentangan RUU berkenaan selepas memperoleh konsensus Jemaah Menteri.
Sebelum ini, RUU PSB telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama dengan tujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Bagaimanapun, pembentangan bacaan kedua RUU itu ditangguhkan selepas beberapa ahli-ahli parlimen BN menyuarakan hasrat supaya ia diteliti semula dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette
















