KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menegaskan bahawa kes mahkamah yang dihadapinya tidak akan menjejaskan reputasi dan kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.
Beliau berkata, ATM merupakan sebuah institusi yang telah wujud sejak lebih sembilan dekad dan kekal kukuh meskipun berdepan cabaran.
“Ia tidak akan menjejaskan angkatan tentera kerana ATM sudah wujud sejak 92 tahun lalu dan akan terus kekal kuat.
“Kami akan bangkit semula, Insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding kes rasuah beliau di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Nizam berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bahawa pertuduhan membabitkan pegawai tertinggi tentera boleh memberi kesan kepada imej ATM.
Menurutnya, institusi pertahanan negara itu wajar diberi ruang untuk menilai dan mengambil langkah sewajarnya dalam menangani kemelut berkenaan.
Terdahulu, Mohd Nizam, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, pecah amanah dan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan melebihi jutaan ringgit.
Beliau didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) bagi memperoleh suapan berjumlah RM552,481.90, selain satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) melibatkan RM3 juta serta satu pertuduhan menerima RM200,000 sejak tahun 2024.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nizam didakwa melantik lima syarikat bagi membekalkan barangan termasuk kain pelikat, kain batik, peralatan pelbagai guna, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barangan Hari Raya TKAT bagi tahun 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd Nizam berkata anak guamnya berhasrat membersihkan nama melalui proses perundangan.
Katanya, Mohd Nizam telah berkhidmat selama 42 tahun dalam ATM dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan. -MalaysiaGazette
















