Kempen `Operasi Menangkap Pelajar Kelantan’ di kampus universiti awam termasuk UUM yang tular di dalam media sosial.

KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menafikan pernah merancang, meluluskan atau terlibat dalam sebarang `Operasi Menangkap Pelajar Kelantan’ seperti yang tular di dalam media sosial.

MPP UUM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga tidak terlibat dalam sebarang kempen yang bersifat mendiskriminasi mana-mana kumpulan pelajar.

Menurutnya, penggunaan nama MPP UUM dalam bahagian “anjuran” pada hantaran tersebut adalah satu tindakan tidak beretika dan merupakan pelanggaran integriti yang berat.

“Kami menegaskan bahawa kandungan seperti ini tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk gurauan semata-mata.

“la berisiko mencetuskan sentimen kenegerian yang negatif serta menggugat keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan warga UUM,” katanya.

Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, MPP UPM menuntut pihak yang terlibat agar menghentikan serta-merta penyebaran hebahan tersebut yang mengaitkan dengan nama perwakilan pelajar berkenaan.

Dalam masa sama, katanya, pihak terlibat juga digesa menarik balik atau memadam bahan berkaitan daripada mana-mana saluran komunikasi bagi mengelakkan kekeliruan berterusan.

Tegasnya, MPP UUM tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti untuk tindakan lanjut selaras dengan Peraturan-Peraturan Universiti Utara Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 sekiranya identiti organisasi terus disalahgunakan.

“Mahasiswa dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan maklumat yang diterima dan hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi MPP UUM untuk sebarang hebahan sahih.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian dan nama baik Universiti Utara Malaysia,” katanya.

Terdahulu, tular di dalam media sosial hebahan berkenaan operasi menangkap pelajar Kelantan yang berada di sekitar kampus UUM yang mengaitkan kempen itu dengan penglibatan MPP universiti berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, hebahan itu turut melibatkan universiti-universiti awam lain.

Sementara itu, meskipun diihat sebagai hanya gurauan di media sosial, namun hantaran sedemikian mengundang rasa kurang dan dikecam mahasiswa yang menyifatkannya tidak wajar kerana melibatkan unsur kenegerian. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast