MELAKA – Seorang pembantu tadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima ‘angpau’ berjumlah RM500 mencetuskan kekecohan apabila melarikan diri daripada dirakam petugas media di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman denda RM1,800 terhadap Suhana Surin, 45, selepas mengaku bersalah
menerima wang tunai berjumlah RM500 daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya tiga tahun lalu.
Bagaimanapun sebaik sahaja membayar denda, berlaku sedikit ‘perang mulut’ apabila dipercayai keluarga tertuduh cuba menghalang petugas media merakamkan gambar tertuduh walaupun selepas tamat prosiding di luar mahkamah.
Selepas lebih satu jam menunggu, Suhana tiba-tiba keluar dari pintu Mahkamah Sesyen 1 dan berlari manakala petugas media meneruskan tugas seperti kebiasaan merakam visual tertuduh.
Ketika itu, seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya bertindak menghalang tugas wartawan dengan menolak besi penghadang selain turut menolak media.
Terdahulu dalam prosiding itu, berdasarkan dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu tadbir di MPAG mengaku bersalah menerima wang tunai RM200 dan RM300.
Habuan itu diterima daripada seorang pengurus syarikat pengiklanan di Melaka antara 5 hingga 20 Januari 2023
dan 10 hingga 19 April 2023 di daerah Alor Gajah sedangkan tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi yang berada di bawah seliaannya.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Datin Kharen Jit Kaur.
Peguam bagaimanapun dalam rayuannya memberitahu mahkamah tertuduh merupakan ibu kepada dua orang anak dan telah berkhidmat di MPAG tanpa sebarang kesalahan.
“Seperti mana fakta (kes) wang-wang RM200 dan RM300 itu telah dimasukkan ke dalam akaun adalah kerana mendapat angpau dan juga duit raya, jadi kesalahan ini saya percaya telah dilakukan dengan tidak ada apa-apa niat untuk sebarang kesalahan.
“Walaubagaimanapun, saya percaya penerimaan wang itu adalah menjadi satu kesalahan jadi saya percaya satu hukuman denda yang ringan dapat diberikan,” hujahnya.
Hakim kemudian menetapkan hukuman denda RM900 bagi setiap kesalahan atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut.
Bagi dua pertuduhan lain di bawah seksyen sama, mahkamah memutuskan untuk menggunapakai ‘Take Into Consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171 Kanun Tatacara Jenayah. – MalaysiaGazette
















