Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal kerana kerajaan masih membisu serta gagal mengemukakan sebarang penyelesaian konkrit terhadap isu-isu kritikal yang menekan pemandu e-hailing di seluruh negara.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun kerajaan seringkali mengatakan pemandu e-hailing adalah tulang belakang kepada industri pengangkutan awam negara, namun hanya indah khabar dari rupa.

“Namun realitinya, ribuan pemandu e-hailing terus berhadapan dengan kos operasi yang meningkat, dasar tidak konsisten dan menekan serta kegagalan tadbir urus berlarutan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) masih gagal menangani kenaikan kos premium insurans e-Hailing.

“PPIM mempersoalkan apakah keputusan sebenar hasil daripada sesi libat urus antara BNM, MOT, APAD dan PIAM bersama penggiat industri yang telah diadakan sebelum ini?

“Adakah libat urus tersebut sekadar retorik, wayang, atau hanya perbincangan tanpa sebarang tindakan susulan yang nyata?

“Adakah agensi kerajaan seperti BNM terpaksa akur dan tunduk kepada kehendak pemain industri insurans dan menidakkan kepentingan rakyat yang mencari rezeki dalam industri e-hailing ini?” katanya.

Nadzim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kenaikan premium insurans e-hailing sehingga 150 peratus yang tidak munasabah yang memberi kesan kos operasi serta menjejaskan kelangsungan pendapatan pemandu.

“Isu ini berulang kali dibangkitkan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) dan Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD).

“Namun langsung tidak menerima sebarang reaksi daripada mana-mana pihak. Adakah sikap diam agensi terlibat bermaksud mereka akur dengan kehendak pemain industri insurans?” katanya.

Selain itu katanya, pemandu e-hailing terpaksa mengeluarkan premium insurans berganda iaitu insurans kenderaan serta insurans e-hailing yang mencecah lebih RM2,000 bagi sebuah kenderaan dan ia berterusan meningkat tanpa belas ihsan.

“PPIM turut dimaklumkan bahawa kenaikan premium ini kononnya berpunca daripada kadar tuntutan dan risiko kemalangan yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, PPIM mendesak PIAM supaya mendedahkan data dan statistik tuntutan yang telah diaudit secara bebas bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan premium dibuat secara telus, adil dan berasaskan fakta yang sahih.

“Adakah angka tuntutan itu berdasarkan kemalangan yang sudah dilindungi insurans kenderaan sedia ada.

“Adakah ia hanya alasan tidak munasabah pemain industri insurans untuk mengaut keuntungan lebih tinggi memandangkan penambahan jumlah penggiat e-hailing?” katanya.

Menurutnya, PPIM juga berasa kesal dengan sistem tambang tawar-menawar yang masih terus beroperasi sedangkan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Mei 2024 menegaskan MOT tidak pernah membenarkan sistem itu.

“Ia sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan, kejelasan dasar serta kebertanggungjawaban agensi pelaksana terhadap arahan kementerian.

“PPIM menegaskan bahawa kegagalan menyelaraskan dasar dan pelaksanaan ini telah menjadikan pemandu e-hailing mangsa kepada sistem yang tidak adil, tidak terkawal dan berat sebelah,” katanya.

Katanya, PPIM menggesa MOT dan APAD mewajibkan pelaksanaan e-KYC kepada pengguna e-hailing, sama ada semasa proses pendaftaran akaun atau sebelum sesuatu tempahan dibuat.

“Ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pihak dalam perkhidmatan e-hailing.

“Pelaksanaan e-KYC penting bagi memastikan identiti pengguna dapat dikenal pasti dengan jelas, sekali gus mengurangkan risiko jenayah, penipuan, ugutan, gangguan serta ancaman keselamatan terhadap pemandu e-hailing,” katanya.

Katanya lagi, jaminan keselamatan dan kebajikan pemandu mesti diperkukuhkan, termasuk bantuan segera dan perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang kes jenayah atau salah laku oleh pengguna.

“Prosedur siasatan yang adil dan telus supaya pemandu tidak dipersalahkan secara automatik dalam insiden melibatkan pengguna.

“Perlindungan undang-undang yang jelas dan menyeluruh bagi mengelakkan pemandu terjerat dengan kesalahan undang-undang akibat kegagalan pengesahan identiti pengguna atau kelemahan sistem platform,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast