KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Lamag sebagai sebuah amanah besar.
Tambahnya, keputusan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepimpinan dan kestabilan yang diharapkan untuk kawasan berkenaan.
“Kemenangan Saudara Naim Kurniawan Moktar di Parlimen Kinabatangan dan Saudara Mohd Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag adalah sebuah amanah besar untuk meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang sepanjang hayatnya meletakkan Kinabatangan dan Lamag sebagai keutamaan perjuangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi Kinabatangan dan Lamag yang ditinggalkan Allahyarham Bung Moktar dengan kemenangan besar, hari.
Calon BN bagi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar menang bergaya meraih 19,852 undi dengan majoriti besar 14,214.
Beliau yang merupakan anak sulung Bung Moktar berjaya mengalahkan pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau yang mendapat 5,638 undi, manakala seorang calon Bebas, Goldam Hamid memperoleh 946 undi.
Manakala calon BN Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA berjaya mempertahankan DUN Lamag dengan 7,269 undi (majoriti: 5,681) dalam pertarungan satu lawan satu dengan calon daripada Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang meraih 1,588 undi.
“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersama-sama memastikan kemenangan ini,” tambah Zahid. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















