KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima lima aduan berkaitan pelanggaran peraturan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, empat aduan membabitkan kesalahan semasa berkempen manakala satu lagi melibatkan unsur provokasi dengan kesemua laporan berada di bawah pemantauan badan pemantau yang dilantik SPR.
“Aduan ini tidak melibatkan peranan polis kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh badan pemantau yang dilantik,” katanya kepada media hari ini.
Mengulas persediaan menghadapi proses pengiraan undi dan pengumuman keputusan malam ini, Ramlan berkata, SPR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan undang-undang yang jelas bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.
“Kita berharap semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan. SPR sebagai badan bebas akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti bagi memastikan proses ini adil dan telus,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan keputusan PRK dijangka diperoleh seawal 10 malam bergantung kepada faktor logistik dan lokasi pusat mengundi yang sukar diakses.
Menurutnya, kesemua 36 pusat mengundi melibatkan 117 saluran dibuka serentak pukul 7.30 pagi dengan beberapa pusat dijadualkan ditutup lebih awal berikutan kedudukan geografi yang mencabar.
“Sebanyak lapan pusat mengundi memerlukan penggunaan helikopter bagi membawa keluar peti undi manakala tujuh lagi menggunakan bot,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, suasana pengundian setakat ini berjalan lancar, teratur dan terkawal walaupun kehadiran pengundi dilihat sederhana.
Setakat 12 tengah hari, peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan direkodkan pada 39.23 peratus, manakala PRK DUN N.58 Lamag mencatatkan 38.45 peratus, menghampiri 40 peratus. – MalaysiaGazette
















