Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas memuktamadkan pencalonan seorang individu yang bukan presiden parti itu sebagai calon bagi mengisi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat serta Jawatankuasa Harian Pas Pusat.

“Dia bukan Presiden Pas,” katanya ringkas dalam sidang media di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.

Namun, Takiyuddin enggan mendedahkan nama berkenaan ketika ditanya mengenai identiti calon yang diputuskan.

“Calonnya adalah calon yang dinamakan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bahawa parti itu kekal menerajui gabungan pembangkang susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut Abdul Hadi, resolusi Muktamar Pas sebelum ini telah meluluskan usul supaya Pas menerajui gabungan tersebut.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul berhubung calon pengganti jawatan Pengerusi PN, dengan antara nama yang disebut termasuk Abdul Hadi sendiri serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Jumaat lalu mengeluarkan notis Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.

Berdasarkan notis berkenaan, mesyuarat itu akan memilih pengerusi mesyuarat dalam kalangan Timbalan Pengerusi PN, selaras Fasal 8.3(II)(b) Perlembagaan gabungan tersebut.

Mesyuarat yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam di Ibu Pejabat Gerakan, di sini, turut akan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebelum melantik individu baharu sebagai Pengerusi PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.