Filem tempatan Irumbuth Thottam bakal menemui peminat filem triller misteri pertengahan tahun ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah filem cereka jenayah siasatan tempatan, Irumbuth Thottam atau Ladang Besi bakal menemui penonton dengan kisah pembunuhan seorang pelajar perempuan, merungkai sisi gelap sebuah komuniti kecil yang selama ini kelihatan aman.

Diarahkan oleh Jaydev Jayakumar, filem berdurasi 114 minit itu mengisahkan berkaitan pembunuhan seorang pelajar berusia 15 tahun di pekan Sri Tebong.

Kes pembunuhan ini akhirnya membawa kepada pendedahan lebih mendalam tentang hubungan manusia, emosi terpendam dan kebenaran yang sukar diterima.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Jaydev berkata, Irumbuth Thottam bukan sekadar sebuah filem jenayah, sebaliknya cuba membuka ruang perbincangan terhadap isu-isu sensitif yang jarang dibicarakan secara terbuka dalam masyarakat.

“Filem ini lahir daripada keinginan saya untuk memecahkan kesunyian terhadap perkara yang masih dianggap tabu.

“Genre jenayah siasatan memberi ruang untuk mesej ini disampaikan secara berlapik tetapi berkesan,” katanya dengan teruja.

Beliau berkata, filem tersebut turut membawa nilai sentimental kerana keseluruhan penggambaran dijalankan buat kali pertama di Tebong, Melaka, yang merupakan kampung halamannya.

“Cerita, watak dan suasana filem ini banyak diinspirasikan daripada kenangan zaman kanak-kanak saya.

“Tebong bukan sekadar lokasi penggambaran, tetapi sebahagian daripada jiwa Irumbuth Thottam,” ujarnya.

Penerbit filem, Jegen John Peter pula berkata, produksi berkenaan dihasilkan dengan keyakinan bahawa filem tempatan mampu tampil berani tanpa mengetepikan nilai dan realiti masyarakat setempat.

“Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang jujur dan berpijak pada realiti. Isunya mungkin berat, tetapi ia dekat dengan kehidupan dan boleh difahami oleh penonton pelbagai latar,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan penglibatan penduduk tempatan sebagai kekuatan utama filem berkenaan.

“Lebih 50 penduduk Tebong berbilang bangsa terlibat secara langsung dalam pembikinan filem ini. Sokongan mereka menjadikan filem ini lebih hidup dan autentik,” jelasnya.

Irumbuth Thottam(Ladang Besi) menampilkan barisan pelakon termasuk Irfan Zaini, Logavarman Stideran, Marie Dashani Matthews, Mohana Raj, Dhurgaashini S Vijyan, Vino Shan, Vijay Naidu, V Kogila, Balan Kash, Kalaimamani KS Maniam, Datuk Geethanjali G dan Adli Hafidz.

Lebih menarik penampilan khas Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj akan turut memainkan peranan dalam filem ini.

Kekuatan penceritaan turut diperkukuhkan melalui muzik latar yang digubah oleh Shameshan Mani Maran.

Filem berbahasa Tamil dan Melayu itu diterbitkan oleh AVLT Production dan dijangka memberi nafas baharu kepada genre jenayah siasatan tempatan menerusi penceritaan yang menekankan elemen forensik, emosi dan konflik masyarakat.

Pihak penerbit dijangka mengumumkan tarikh tayangan Irumbuth Thottam dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast