KUALA LUMPUR – Sebanyak 135 tangkapan berkaitan kes lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam negeri-negeri dari tahun 2022 hingga 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, Kerajaan Madani bertegas menolak sebarang bentuk promosi aktiviti LGBT yang disifatkan bercanggah ajaran Islam serta nilai kesusilaan masyarakat Malaysia.
Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah tangkapan kes LGBT, tindakan yang diambil terhadap individu terlibat serta langkah memastikan mereka tidak kembali melakukan aktiviti sama.
Menurut Zulkifli, penguatkuasaan kes jenayah syariah berkaitan LGBT bagi orang Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Di Wilayah Persekutuan, katanya, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, termasuk kesalahan berkaitan liwat, musahaqah serta lelaki berlagak seperti perempuan.
Beliau menjelaskan individu yang disyaki terlibat tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi tidak semestinya didakwa, sebaliknya akan diberikan nasihat, kaunseling atau diarahkan mengikuti kursus kesedaran dan pemulihan.
“Kerajaan turut melaksanakan program dakwah dan kursus khas bagi membimbing golongan ini ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Bantuan tertentu juga disalurkan bagi membantu mereka menceburi bidang pekerjaan yang sesuai serta bidang perniagaan,” katanya.
Dalam masa sama, Zulkifli menggalakkan orang ramai membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sekiranya mengesan penyalahgunaan platform media sosial untuk menyebarkan atau mempromosikan kandungan berkaitan LGBT. – MalaysiaGazette
















