Yahaya Othman

KUALA LUMPUR – Seorang doktor di sebuah hospital di Pahang kerugian RM285,000 selepas terpedaya dalam kes penipuan panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada beberapa individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis pada 31 Disember lalu.

Suspek mendakwa mangsa yang berusia 31 tahun terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram serta
aktiviti penipuan digital.

Bagi tujuan siasatan palsu tersebut, mangsa telah diarahkan untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian.

Mangsa juga diarahkan untuk membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank.

Yahaya berkata, mangsa telah membuat pinjaman daripada sebuah institusi kewangan sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza melibatkan 12 transaksi, selain membeli 35 keping resit
Razer Gold Topup dan menyerahkan nombor pin kepada suspek.

“Akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM285,000.00, melibatkan simpanan peribadi dan pinjaman bank.

” Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi utiliti dan kewangan.

Katanya, sebarang panggilan mencurigakan hendaklah disahkan terus dengan pihak polis atau agensi berkaitan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya membuat semakan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum
membuat sebarang transaksi.

Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan
(NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast