KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempercepat tindakan penguatkuasaan berhubung dakwaan penipuan skim pelaburan Pulangan Sewa Terjamin (GRR).
Setakat ini, kerugiaan dianggarkan hampir RM50 juta dengan melibatkan 69 mangsa.
Kes berkenaan telah disiasat sejak September tahun lalu, dengan puluhan pengadu sudah tampil ke SSM bagi merakam percakapan selepas mendakwa diperdaya menyertai skim pelaburan hartanah yang menawarkan pulangan tetap dan dijamin.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada individu yang mendakwa ditawarkan skim GRR oleh sebuah syarikat, sebelum dimanipulasi untuk membeli unit kediaman dalam projek hartanah yang dibangunkan.
Menurut beliau, keseluruhan unit yang dikenal pasti setakat ini berjumlah 69 unit dengan nilai pembelian keseluruhan melebihi RM47 juta.
Jelasnya, jumlah kerugian dijangka meningkat selepas mengambil kira kos sampingan serta komitmen kewangan lain yang ditanggung mangsa.
“Nilai harga belian unit sahaja sudah mencecah sekitar RM47.2 juta dan jumlah sebenar kerugian dijangka lebih besar apabila semua mangsa tampil sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Hishamuddin menjelaskan, GRR ialah pelaburan hartanah yang mana pembeli dijanjikan pulangan sewa tetap untuk tempoh tertentu tanpa perlu mengurus unit berkenaan.
Namun skim ini berisiko disalah guna apabila pulangan dijamin walaupun hartanah tidak benar-benar disewakan.
Katanya, antara modus operandi digunakan termasuk janji pulangan sewa antara lapan hingga 12 peratus setahun, selain jaminan bahawa pelabur tidak perlu terlibat langsung dalam pengurusan dan penyelenggaraan unit kediaman.
“Mangsa juga dijanjikan pembelian semula unit oleh syarikat terbabit mengikut harga pasaran semasa, meyakinkan pelabur risiko adalah minimum,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini para pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi berhubung status siasatan yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan.
Menurut Hishamuddin, kes berkenaan bukan isu kecil atau spekulatif, sebaliknya mempunyai ciri-ciri serius yang berpotensi menyerupai skim pelaburan berkepentingan di bawah undang-undang sedia ada.
“Elemen seperti jaminan pulangan, pengurusan berpusat dan pelabur pasif adalah petunjuk yang wajar diteliti secara mendalam oleh pihak berkuasa,” ujarnya,
Sehubungan itu, MHO menggesa SSM dan agensi berkaitan memberikan penjelasan rasmi mengenai status siasatan serta mengambil tindakan tegas sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
“Para pengadu bersedia memberikan kerjasama penuh termasuk menyerahkan dokumen dan maklumat tambahan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menawarkan skim pelaburan GRR secara tidak sah bagi melindungi kepentingan mangsa serta mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















