SEMENYIH – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan akan menggantikan semula tanah rizab Melayu yang akan diambil untuk pembinaan Jalan Pintasan Semenyih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepadanya, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan negeri itu akan membantu menyelesaikan isu-isu yang berbangkit di kawasan tersebut demi pembinaan projek yang dijangka dapat menangani isu kesesakan lalu lintas.
“(Mengenai) kerja-kerja pengambilan tanah rizab Melayu, kita dapat jaminan (bahawa) Kerajaan Selangor akan membantu supaya dapat dileraikan dengan cara baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Amirudin dan Pengerusi KHK Land, Datuk Zainol Abidin Mohamed.
Projek Jalan Pintasan Semenyih itu merupakan hasil kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan.
Projek ini melibatkan pembinaan laluan sepanjang 4.3 kilometer dengan empat lorong, bakal menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta enam enam lebuh raya utama, termasuk LEKAS dan CKE.
Projek berkenaan bukan sahaja mampu merungkai masalah kesesakan setempat malah, akan memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur, daripada 45 minit kepada hanya 20 minit.
Dalam masa yang sama, Anwar turut menyifatkan projek tersebut bakal memberi pulangan pelaburan yang munasabah dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
“(Projek ini) bakal menjana pertumbuhan ekonomi dan penjamin keselesaan persekitaran juga keperluan rakyat,” katanya lagi.
Baru-baru ini, MalaysiaGazette melaporkan 48 pemilik lot tanah di Kampung Sungai Pening tidak berpuas hati selepas mendakwa Kerajaan Negeri Selamgor mahu mengambil tanah mereka bagi membina jalan pintasan menuju ke Lebuhraya SILK.
Cadangan projek itu didakwa memintas kampung melalui tanah perkuburan dan ia terletak di kawasan mereka.
Dalam majlis sama, Anwar turut memaklumkan tanah perkuburan Islam yang akan dibina di kawasan tersebut bakal diselenggara sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, tanah perkuburan Islam yang akan dibuka di Hulu Semenyih, Selangor mampu menampung keperluan jenazah umat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun.
Pembukaan kawasan itu susulan penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70 peratus setakat ini.
Anwar berkata, kawasan perkuburan baharu itu melibatkan 10,000 lot.
Katanya, dengan pembinaan jalan pintasan itu bakal memudahkan akses ke kubur tersebut.
“Harus ditekankan bahawa jumlah kematian meningkat di Wilayah Persekutuan dan ia menuntut kita menyegerakan dan memberikan kemudahan secukupnya.
“Mengikut unjuran, jumlah kematian lima tahun akan datang dianggar lebih 3,000 setahun. Jadi kita cuba selesaikan dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak-pihak yang membantu memudahkan urusan projek berkenaan termasuk Kerajaan Negeri Selangor. – MalaysiaGazette
















