Seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor mengadakan sidang akhbar mendesak Sahruddin Jamal meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri, dalam sidang akhbar di Kempas, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menafikan majoriti ketua bahagian parti itu di Johor hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negeri.

Setiausaha Bersatu Johor, Samsudin Ismail berkata, dakwaan itu tidak benar malah bersifat mengelirukan kerana mendesak Datuk Dr Sahruddin Jamal meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Beliau mendakwa, hanya sembilan ketua bahagian terlibat dalam desakan tersebut bukan 14 bahagian seperti yang didakwa sebelum ini.

Jelasnya, ia sekali gus menafikan tanggapan kepimpinan negeri kehilangan sokongan majoriti daripada keseluruhan 26 ketua bahagian di negeri ini.

“Kenyataan mengenai kepimpinan negeri tidak mengambil cakna terhadap isu akar umbi adalah tohmahan yang tidak berasas. Semua ketua bahagian diberi ruang untuk menyuarakan pandangan melalui mesyuarat rasmi, program parti serta sesi libat urus bersama pimpinan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian individu yang kini membuat kenyataan secara terbuka didapati tidak menghadiri beberapa mesyuarat dan program rasmi parti sebelum ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap dakwaan kononnya saluran dalaman tidak disediakan.

Tambahnya, BPN turut berpandangan tindakan mengadakan sidang akhbar secara terbuka hanya akan menjejaskan imej parti, mengelirukan ahli di peringkat akar umbi serta membuka ruang kepada pihak lawan untuk mengeksploitasi perpecahan dalaman.

Dalam pada itu, Shamsudin menegaskan, Sahruddin kekal sebagai pemimpin berprinsip yang sentiasa mengutamakan kepentingan parti sepanjang menerajui kepimpinan parti.

Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong turut menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pimpinan atasan untuk menilai kedudukannya selaras dengan perlembagaan dan amalan parti.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ketua bahagian dan ahli parti agar menghentikan polemik terbuka serta kembali menyelesaikan perbezaan pandangan melalui saluran dalaman secara berhemah demi kestabilan dan masa depan Bersatu di Johor.

“Parti ini dibina atas asas perjuangan, bukan sentimen peribadi,” tegasnya.

Semalam, seramai 14 daripada 26 Ketua Bersatu Johor mendesak Sahruddin berundur demi masa depan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian terlibat, mendakwa hilang sokongan dan kepercayaan terhadap Dr Sahruddin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast