Ketua Bahagian UMNO Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib

JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor wajar dibubarkan selepas didakwa sudah hilang sokongan apabila 14 ketua bahagiannya mendesak Pengerusi negeri meletak jawatan.

Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib berkata, langkah tersebut adalah realistik dan ahli-ahli parti tersebut boleh menyertai UMNO.

“Jika Pengerusi Bersatu Negeri sendiri ditolak oleh majoriti ketua bahagian, maka pilihan paling bermaruah bukan sekadar berundur, tetapi bubarkan sahaja Bersatu Johor dan hentikan sandiwara politik yang tidak lagi mendapat keyakinan dalaman.

“Lebih baik tamatkan dengan terhormat dan kembali ke UMNO semula kepada ahli-ahli Bersatu yang benar-benar ikhlas mahu berjuang untuk agama, bangsa dan negeri Johor, pintu UMNO sentiasa terbuka..

“Jangan lagi kita orang-orang melayu dibuai dengan drama-drama yang langsung tidak menyumbang kepada kepentingan rakyat.

“Kembalilah, marilah kita kembali membina kekuatan di bawah satu bumbung yang jelas hala tujunya dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 14 daripada 26 Ketua Bersatu Johor mendesak Datuk Dr Sahruddin Jamal berundur daripada jawatan Pengerusi Bersatu Johor demi masa depan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian terlibat berkata, ini kerana mereka mendakwa hilang sokongan dan kepercayaan terhadap Dr Sahruddin.

Hari ini pula, Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor menafikan majoriti ketua bahagian parti itu di Johor hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negeri.

Setiausaha Bersatu Johor, Samsudin Ismail dilaporkan berkata, dakwaan itu tidak benar malah bersifat mengelirukan yang mendesak Dr Sahruddi meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Samsudin mendakwa, hanya sembilan ketua bahagian terlibat dalam desakan tersebut, bukannya 14 bahagian seperti yang didakwa sebelum ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, apa lagi yang boleh diharapkan dengan Bersatu apabila 14 bahagian secara terbuka mendesak Dr Sahruddin berundur.

Jelasnya, itu bukan suara kecil tetapi dikira majoriti selain merupakan isyarat jelas bahawa parti tersebut sedang berdepan krisis keyakinan yang serius.

“Jika lebih separuh pimpinan bahagian sendiri sudah hilang kepercayaan terhadap Pengerusi negeri, ini bukan lagi soal perbezaan pandangan.

“Ini soal kegagalan kepimpinan dan hilangnya legitimasi dalaman. Bagaimana mahu bercakap soal mentadbir negeri Johor jika dalam rumah sendiri pun gagal mengurus perpaduan,” soalnya.

Katanya lagi, nama parti sahaja Bersatu tetapi realitinya menjadi pemecah perpaduan orang Melayu.

“Kononnya mahu menjadi alternatif dan pilihan lebih baik kepada rakyat, tetapi yang dipamerkan hanyalah pertelingkahan sesama sendiri.

“Jika struktur sudah tidak lagi diyakini oleh pimpinan sendiri, maka tidak perlu lagi berselindung di sebalik alasan politik. Sudah tiba masanya Bersatu Johor bermuhasabah secara jujur dan terbuka.

“Jangan terus menjadi punca perpecahan orang Melayu dan kekeliruan rakyat Johor. Orang Johor perlukan kestabilan,bukan drama. Perlukan kepimpinan yang fokus kepada rakyat, bukan mainan politik semata-mata,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast