JOHOR BAHRU – UMNO Johor sekiranya benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri, maka jangan takut kepada persaingan terbuka dan adil dalam pilihan raya nanti.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Muhammad Taquiddin Cheman menasihatkan Pemuda UMNO Johor agar mengamalkan politik matang dan berfakta, bukan politik herdikan serta label emosi yang tidak berasas.
“Amanah Johor mengambil maklum kenyataan Pemuda UMNO Johor yang cuba melabel Amanah dan Pakatan Harapan (PH) sebagai gila kuasa hanya kerana menuntut keadilan dan kejelasan dalam soal kerjasama politik di Johor.
“Pertama, Amanah Johor ingin menegaskan bahawa menuntut keadilan pembahagian kuasa dan ruang demokrasi bukanlah tanda gila kuasa.
“Sebaliknya, tindakan memonopoli keseluruhan pentadbiran negeri Johor oleh Barisan Nasional (BN), walaupun PH merupakan rakan utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, jelas memperlihatkan sikap tidak menghormati semangat setiakawan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua, Pemuda UMNO Johor perlu sedar bahawa Kerajaan Perpaduan hanya wujud di peringkat Persekutuan manakala di Johor, PH kekal sebagai pembangkang tanpa sebarang peranan rasmi dalam pentadbiran negeri.
Justeru katanya, sebarang tuntutan agar PH terus akur tanpa diberikan ruang dan peranan adalah tidak adil serta mengelirukan rakyat.
Ketiga pula ujarnya, isu kerusi dan penyertaan bukan isu peribadi mana-mana parti, sebaliknya melibatkan mandat rakyat dan prinsip demokrasi.
Kerusi bukan milik UMNO atau mana-mana parti, tetapi milik rakyat yang berhak diberikan pilihan terbaik, tegasnya.
Perkara keempat katanya, Pemuda UMNO Johor seharusnya lebih fokus menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri sendiri.
“Isu kos sara hidup, bekalan air, perumahan dan peluang pekerjaan masih membelenggu rakyat Johor. Menyerang rakan politik tidak akan menutup kelemahan pentadbiran.
“Kelima, Amanah Johor kekal konsisten dalam prinsip perjuangan. Kami tidak melompat parti, tidak mengkhianati gabungan dan kekal mempertahankan politik berteraskan integriti, kestabilan serta kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut Taquiddin, sejarah politik Johor membuktikan bahawa pengkhianatan sebenar bukan datang daripada Amanah.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros sebelum ini mencabar PH untuk menamakan calon Menteri Besar mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
ARTIKEL BERKAITAN
Semalam pula, Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman dilaporkan berkata, Amanah yang terus menuntut pembahagian kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka disifatkan sebagai gilakan kerusi dan kuasa.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad meminta supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan PRN Melaka diadakan pada tahun ini, sementara PRN Johor pula perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027 mengambil tempoh permulaan sidang DUN negeri itu yang bermula pada April 2022.
Kedudukan semasa kerusi DUN di Melaka menyaksikan 21 DUN dimiliki BN, sementara selebihnya PH dan Perikatan Nasional (PN).
Bagi DUN Johor pula, BN menguasainya di 40 kerusi daripada 56 DUN yang ada pada PRN 2022 lalu.- MalaysiaGazette
















