KUANTAN – Polis mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan keberadaan seorang lelaki berusia 38 tahun, Amirul Ahmad yang dilaporkan hilang sejak tengah malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, mangsa yang tinggal di rumah ibu bapanya di Felda Chini Timur 2, Pekan dikatakan tidak pulang setelah keluar daripada rumah itu kira-kira jam 12.30 malam.
“Ibu kepada mangsa memaklumkan bahawa anaknya mengalami masalah kemurungan sejak berusia 17 tahun dan tidak bercampur dengan orang ramai.
“Sudah menjadi kebiasaan mangsa akan keluar rumah pada waktu malam untuk menebas semak samun di belakang rumahnya sebelum pulang semula ke rumah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambah Mohd Zaidi, operasi SAR telah diaktifkan pada jam 10.30 pagi tadi di kawasan hutan dan paya di belakang rumahnya itu dengan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti setempat.
Amirul Ahmad yang berkepala botak dikatakan memakai baju biru dan berseluar hitam ketika kali terakhir dilihat oleh ahli keluarganya.
Beliau dalam masa sama turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kehilangan Amirul Ahmad agar tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















