KUALA LUMPUR – Sebuah lori yang diparkir di bahu jalan dipercayai bergerak sendiri sebelum merempuh lima kenderaan lain dalam satu kejadian di Jalan Persiaran Damai Perdana dekat Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan enam buah kenderaan dan berlaku ketika pemandu lori berkenaan meninggalkan kenderaannya untuk keluar makan.
Menurut beliau, lori tersebut tiba-tiba bergerak dan melanggar kenderaan yang berada di kiri dan kanan jalan, menyebabkan kerosakan pada kesemua kenderaan terbabit.
“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-381 8422 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan diparkir dengan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















