Selain keselamatan psikologi, sekolah juga memerlukan keselamatan psikososial. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pendaftaran boleh dibuat melalui Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.

Tambah beliau, pendaftaran bagi kanak-kanak enam tahun (5+) memasuki Tahun 1 bermula pada 2027 adalah secara sukarela dan tidak perlu menduduki ujian saringan.

“Inisiatif untuk menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun 1 adalah langkah progresif Kerajaan MADANI bagi memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak serta pada masa sama memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendaftaran adalah terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia kohort enam tahun (5+) yang lahir pada 2 Januari hingga 31 Disember 2021.

Manakala pendaftaran bagi kohort tujuh tahun (6+) adalah bagi kanak-kanak warganegara Malaysia yang lahir pada 2 Januari hingga 1 Januari 2021.

Tambahnya, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe).

Mereka juga perlu mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh dirujuk menerusi laman portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast