KUALA LUMPUR – Padah menyamar sebagai pegawai polis dengan menahan seorang warga Indonesia mengundang padah dalam kejadian di Taman Maluri, Cheras pada Ahad lau.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku sekitar 10 malam selepas disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis.
“Ketika kejadian, lelaki warga Indonesia itu telah ditegur tiga lelaki tidak dikenali yang bertanya kepada sama ada mangsa mempunyai permit bekerja atau tidak.
“Mereka kemudian meminta mangsa membuka beg untuk menjalankan pemeriksaan dan salah seorang suspek terus menggari mangsa sambil mengaku sebagai polis.
“Salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian kemudiannya membuat panggilan ke Pusat Kawalan IPD Cheras meminta bantuan dan anggota unit peronda (MPV) hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan di dalam beg salah seorang suspek menemui sepasang gari dan vest polis yang dibeli secara atas talian.
“Susulan itu, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an direman selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Januari dan sudah dituduh hari ini di mahkamah,” jelasnya.
Mohd Rosdi menambah, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 170/ 171 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette
















