Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pas kesal dengan penularan surat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditujukan kepada Presiden Parti-Parti Anggota Perikatan Nasional (PN) bertarikh 27 Januari lalu, seperti yang tersebar kepada pihak media.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

“Sehubungan itu pihak kami akan menyatakan pendirian terhadap perkara tersebut secara bersurat kepada Presiden Parti-Parti Anggota PN, untuk perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu.

Dalam sepucuk surat kepada pimpinan Pas; Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) seperti yang tersebar kepada media, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu dan Pas bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.

Beliau berkata, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu, termasuk menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif pula akan mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.

Langkah itu diambil selepas beberapa minggu pertikaian dalaman dalam PN berhubung jawatan pengerusi gabungan itu selepas wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponennya mengenai peralihan kepimpinan dan imbangan kuasa.

Cadangan itu dibuat susulan satu pertemuan di kediaman Muhyiddin pada 16 Januari lalu bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Takiyuddin yang disifatkannya sebagai mesra dan membina.

Bagaimanapun, ketegangan kembali tercetus selepas beliau dimaklumkan bahawa Timbalan Setiausaha Agung PN telah mengeluarkan notis bagi mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi esok, dengan pelantikan Pengerusi baharu disenaraikan sebagai salah satu agenda.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menerima notis itu dan tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu.

Menurutnya, mesyuarat yang dicadangkan serta agendanya itu bercanggah dengan konsensus yang telah dicapai lebih awal antara Beratu, Pas, Gerakan dan MIPP.

Sambil menggesa supaya mesyuarat khas itu dibatalkan, Muhyiddin sebaliknya menjemput semua presiden parti gabungan PN menghadiri satu perbincangan ‘pra-majlis’ di kediamannya esok. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast