JOHOR BAHRU – Pasukan dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) melumpuhkan sindiket mercun haram dengan merampas RM99,908 di dua lokasi berbeza di Skudai di sini Selasa lalu.
Pegawai Pemerintah BN 5 PGA, Superintenden Salehin Suleiman berkata, pelbagai jenis mercun dirampas dalam 194 kotak menerusi Operasi Taring Charlie.
Menurutnya, bertindak atas risikan operasi berkenaan digerakkan dengan membuat serbuan di dua rumah di Taman Ungku Tun Aminah dan Taman Mutiara Rini yang dijadikan stor simpanan.
“Dalam serbuan ini kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang bertindak sebagai penghantar barangan. Modus operandi sindiket ini adalah membeli mercun dari pembekal-pembekal berlesen dan kemudiannya menyimpan bekalan mercun di rumah yang telah dijadikan stor sementara.
“Semakan ke atas suspek tidak memiliki sebarang permit membeli, mengedar dan menyimpan mercun secara sah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam serbuan tersebut, pasukan BN 5 PGA turut menyita sebuah pacuan empat roda jenis Ford Raptor dan sebuah lori jenis Daihatsu Delta.
Salehin berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM309,893.
Tambahnya, sindiket yang beroperasi sejak sebulan lalu ini menyewa rumah teres dua tingkat untuk dijadikan stor penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Operasi Taring Charlie berjaya menggagalkan usaha sindiket tidak bertanggungjawab dalam aktiviti menyimpan dan mengedar mercun secara tidak sah. – MalaysiaGazette















