GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Perak merampas mercun pelbagai jenis bernilai lebih RM105,000 dalam satu operasi di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang, Sitiawan semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dijalankan kira-kira 4 petang oleh Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Kampung Acheh hasil maklumat orang awam ketika Op Taring Landai.
“Serbuan di rumah berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun bersama beberapa kotak mercun yang ditemui di ruang dapur rumah itu serta di dalam sebuah van miliknya.
“Antara mercun yang dirampas termasuk jenis Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater, Happy Boom Shoot Cake dan Happy Boom Celebration Red Fire Cracker.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM105,400 termasuk sebuah van jenis Toyota Hiace,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Hasil siasatan suspek mengaku tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menyimpan atau memiliki mercun berkenaan serta menggunakan rumah itu sebagai stor penyimpanan sejak dua minggu lalu.
“Suspek turut mengaku mercun berkenaan untuk dijual di sekitar Sitiawan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Susulan itu, suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk dokumentasi sebelum diserahkan kepada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagi siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Dalam pada itu, Jaffri mengalu-alukan orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membanteras penjualan mercun secara haram. – MalaysiaGazette















