KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 15 Mei ini bagi memutuskan semakan kehakiman tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengecualikan cecair dan gel vape daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam K. Shanmuga yang mewakili tiga NGO berkenaan dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili Menteri Kesihatan.
Semakan kehakiman itu difailkan oleh Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM), Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) atas alasan tindakan mengeluarkan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun adalah salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.
Pada prosiding itu, Shanmuga berhujah, Menteri Kesihatan (ketika itu) terkhilaf kerana tidak berunding dengan Lembaga Racun sebelum Kabinet meluluskan untuk menyah cecair nikotin daripada senarai bahan terkawal.
Hujah beliau, keputusan Mac 2023 untuk mengeluarkan cecair nikotin daripada Senarai Racun, bermakna vape menjadi tidak terkawal dan boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak.
Ujarnya, keadaan itu berlarutan hampir 17 bulan, sehingga akhirnya akta itu berkuat kuasa pada Oktober 2024.
Kata peguam, keputusan yang dicapai oleh kerajaan adalah cacat dan mahkamah masih boleh memutuskan isu berbangkit meskipun perkara itu kini akademik.
“Keputusan yang dicapai itu masih boleh dicabar di mahkamah kerana melibatkan isu undang-undang berkepentingan,” hujahnya,
Bagaimanapun, Nurhafizza berhujah, isu yang dibangkitkan oleh peguam telah dimuktamadkan sebelum undang-undang tersebut dilaksanakan.
Hujah beliau, perkara tersebut telah dibincang di peringkat kementerian dan menteri mempunyai kuasa untuk meminda senarai bahan berjadual.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Kesihatan tidak melangkaui kuasa yang diperuntukkan terhadapnya apabila mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.
Menurut afidavit yang difailkan kesemua NGO, mereka mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama telah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.
Ini kerana tindakan mengecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun telah memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat.
Selain itu, plaintif mendakwa menteri telah bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan. – MalaysiaGazette
















