KENYATAAN akhbar berhubung peletakan jawatan semua AJK Eksekutif FAM berkuat kuasa hari ini.

KUALA LUMPUR – Kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 hari ini secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan dengan serta-merta.

FAM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambilkira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.

Katanya, ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum.

“Malah, Jawatankuasa Eksekutif mengambil tanggungjawab bersama dan keperluan untuk bertindak dengan cara melindungi integriti FAM,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, peletakan jawatan itu juga bertujuan mencapai objektif antaranya menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara.

Tambahnya, keputusan itu juga bagi menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.

Dalam masa sama, ujarnya, ia juga bagi memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.

Menurutnya, keputusan itu juga menunjukkan bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun Ahli Jawatankuasa Eksekutif telah diberikan mandat selama empat tahun (penggal 2025–2029) – melepaskan jawatan secara sukarela selepas 11 bulan dipilih.

“Selain itu, ia juga bagi memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi, dan komuniti bola sepak secara keseluruhan.

“Mengekalkan kredibiliti institusi adalah penting bagi kestabilan, kelestarian, dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa mereka akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan semua pihak berkepentingan yang relevan sekalipun tidak lagi memegang sebarang jawatan, selain mereka menekankan komitmen masing-masing terhadap kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.

Sebelum ini, imej FAM tercalar di mata dunia apabila FIFA mengenakan denda dan penggantungan kepada tujuh pemain warisan yang didakwa memalsukan dokumen kelahiran dan susur galur untuk mewakili Malaysia.

Mereka masing-masing dikenakan tindakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selama 12 bulan bermula September tahun lalu.

Selain penggantungan selama 12 bulan dan denda ke atas pemain, FAM turut didenda sejumlah CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain pula didenda CHF2,000 (RM10,000). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast