SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberikan suapan berjumlah RM2,000 kepada seorang penjawat awam disyaki bagi melindungi kilang pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) dan pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses ditetapkan.
Tan Kim Seng, 64, yang merupakan pengarah syarikat kilang e-sisa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Kim Seng memberikan suapan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya di Jalan Udang Galah, Kampung Telok Gong, Klang kira-kira 1.20 tengah hari, 16 Oktober 2025.
Suapan itu sebagai dorongan kepada penjawat awam itu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Kim Seng yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] atas beberapa kesalahan.
Antaranya kesalahan tidak mempunyai lesen premis ditetapkan, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ELA) serta kesalahan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding kes rasuah itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alimi Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Han Sam.
Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah menawarkan jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 serta syarat tambahan di mana tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun Han Sam merayu agar anak guamnya diberikan jaminan yang rendah dan memberi alasan jumlah itu perlu sama dengan nilai suapan dalam pertuduhan, tanpa mengemukakan soal pendapatan, tanggungan keluarga mahupun kesihatan tertuduh.
Sebelum mahkamah memberikan keputusan, Hakim Awang Kerisnada menegur sikap peguam bela tertuduh kerana nilai jaminan yang dirayu itu terlalu kecil sedangkan jaminan yang ditetapkan bukan sebagai satu hukuman.
Menurut Hakim Awang Kerisnada, jaminan itu hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah bagi menjalani proses perundangan sehingga selesai kes yang dihadapinya.
“Ikat jamin mestilah berpatutan dan bukan bersifat menghukum bagi menjamin kehadiran OKT ke mahkamah,” kata Hakim Awang Kerisnada.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan warga tempatan dan mesti menetap sama ada di Kuala Lumpur ataupun Selangor.
“Ibu bapa tak boleh menjadi penjamin kerana umur lanjut membebankan mereka, selain daripada itu, boleh termasuk isteri dan rakan tertuduh asalkan mereka warga tempatan dan duduk di Kuala Lumpur atau Selangor,” katanya.
Hakim Awang Kerisnada turut memberikan syarat tambahan di mana tertuduh wajib melaporkan diri di pejabat SPRM Shah Alam pada minggu pertama setiap bulan bermula Februari 2026, tidak ganggu saksi serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 2 Mac 2026 sebagai tarikh pengurusan dan sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette
















