Kathirkamanathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas pensyarah berpengalaman dengan kepakaran dalam bidang terapi pekerjaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu untuk dilantik sebagai konsultan program sebuah kolej perubatan swasta pada 2024.

Tertuduh, V. Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdayakan Zalinah Abdul Rahman untuk mencadangkan kepada RUMC bagi melantiknya sebagai Programme Consultant – Master of Science of Occupational Therapy dengan bayaran RM20,000 kepadanya bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan walaupun tertuduh mengetahui yang lantikan itu melanggar kontrak kerja antara dirinya dengan Universiti Perdana.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat RCSI & UCD Malaysia Campus (RUMC) di George Town pada 26 September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, dengan denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam, Eric Paulsen.

Tertuduh yang juga bekas Ketua Jabatan Terapi Pekerjaan dengan pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur yang berdekatan tempat tinggalnya pada setiap bulan bermula 1 Mac depan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 1 April depan bagi serahan dokumen.

Tertuduh antara suspek yang ditahan menerusi Op Nature.

Op Nature sebelum ini dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi, iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast