Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi. - Foto: harakahdaily

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi menyifatkan harapan besar yang pernah diletakkan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) hari ini semakin berat untuk dipikul.

Menurut Ketua Pemuda Pas Dungun berkenaan, ia bukan kerana rakyat terlalu menuntut, tetapi kerana ada sebahagian pimpinan PN sendiri yang merencatkan keyakinan tersebut.

Katanya, pelbagai isu berbangkit di dalam PN ketika ini dengan naratif yang bercanggah serta arah tuju yang kabur sedangkan rakyat tidak buta untuk melihat, menilai dan membuat kesimpulan.

“Dalam politik, kesetiaan itu penting. Tetapi realiti juga tidak boleh dinafikan.

“Rakyat sudah memberi isyarat. Mereka mahu pembaharuan, bukan ulangan.

“Mereka mahu kepimpinan yang segar, berwibawa dan mampu membaca zaman bukan terperangkap dengan beban silam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak di dalam PN untuk berhenti bertegang urat dalam mempertahankan sesuatu yang tidak lagi diyakini.

Sebaliknya, kata beliau, pemimpin baharu perlu diberi ruang dan peluang untuk mengetuai nahkoda PN.

“Politik bukan soal siapa paling lama, tetapi siapa paling mampu membawa kapal ini merentas gelora,” katanya.

Tambah beliau, PN mesti berani menerima realiti serta berubah kerana jika berterusan menafikan arus perubahan, arus itu tidak akan menunggu, tetapi akan meninggalkan PN di belakang.

“Harapan rakyat masih ada. Soalnya, adakah PN cukup berani untuk menyambutnya semula?” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast