Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan beliau tidak dijemput oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kediamannya malam ini untuk menghadiri satu mesyuarat.

Hamzah berkata, beliau tidak menerima sebarang jemputan daripada Muhyiddin berhubung mesyuarat yang dijadualkan bagi membincangkan kemelut jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pukul 8 malam ini.

“Bukan macam itu, (patutnya) ‘adakah Datuk Seri dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini? Apalah soalan, jemput pun tidak, nak suruh hadir macam mana?” katanya menjawab soalan wakil media di Dewan Rakyat hari ini.

Difahamkan Muhyiddin dijadualkan mengadakan pertemuan malam ini dengan empat presiden daripada parti komponen PN.

Semalam media melaporkan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dibatalkan sebaliknya ketua parti komponen itu akan mengadakan pertemuan di kediaman bekas Pengerusi PN.

Bagaimanapun, menurut Hamzah, pertemuan tersebut adalah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.

Mengenai surat Muhyiddin yang tular semalam, Hamzah mengambil pendirian untuk tidak mengulas dengan berkata;
“Saya Timbalan Presiden Bersatu, jadi kena tanya Pengerusi PN macam mana (surat itu) bocor, saya tidak tahu ada surat itu, betul ke ada? Surat apa yang bocor?

“Kita tanya Setiausaha Agung (PN), oh ya, Setiausaha Agung sudah meletakkan jawatan,” selorohnya.

Semalam, tular spekulasi mengenai surat bocor antara Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menimbulkan pertanyaan mengenai siapa bakal mengetuai gabungan itu.

Surat pertama yang didakwa dihantar Muhyiddin kepada semua presiden parti PN pada 16 Januari mendedahkan bahawa mesyuarat di rumahnya yang dihadiri Abdul Hadi.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu-isu berhubung peletakan jawatannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast