Seorang pegawai Imigresen, Mohd Rahmat Mat Yusoff berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,100, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM5,100 bagi membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lalu.

Mohd. Rahmat Mat Yusoff, 47, meminta dibicarakan selepas ketujuh-tujuh pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Bagi semua pertuduhan, lelaki itu selaku Pegawai Imigresen Gred KP22 yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia didakwa gagal melapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis paling hampir berhubung pemberian rasuah.

Menurut pertuduhan, dia diberikan suapan wang berjumlah RM5,100 secara pemindahan atas talian daripada akaun bank milik seorang lelaki ke akaun tertuduh di sebuah bank di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Putrajaya antara 28 Jun dan 16 Ogos 2024.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan bagi membantu melepaskan warga asing daripada pemeriksaan pihak Imigresen di Terminal 1 dan Terminal 2.

Pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri dua bulan sekali di SPRM berhampiran, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan sekitar RM5,000 atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri tidak bekerja serta tiga anak berusia antara 18 dan 13 tahun.

“Pihak pembelaan tidak membantah syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan dan memohon mahkamah engambil kira anak guam saya telah berkhidmat di Jabatan Imigresen hampir 25 tahun,”katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Rosli menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast