TEMERLOH – Seorang pekerja ladang kelapa sawit didenda RM8,000 dan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki bahan letupan sebanyak 112 jenis mercun pelbagai jenama tanpa lesen.
Lim Siong Ling, 54, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, Siong Ling didapati memiliki bahan letupan terbabit tanpa tujuan yang sah dari sisi undang-undang pada 22 Januari 2026 kira-kira jam 5 petang di Lot 1057, Tingkat Bawah, Jalan Highway Triang, Triang, Bera.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 Akta 207 yang memperuntuk hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Aqilah Lokman yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambilkira tiga faktor iaitu ia tidak sah di sisi undang-undang, kepentingan orang awam melebihi kepentingan OKS dan keselamatan masyarakat memandangkan jumlah bahan letupan yang banyak.
Peguam Siong Ling, Gilbert Lim Sze Min bagaimanapun memaklumkan mahkamah yang anak guamnya mempunyai tanggungjawab menanggung seorang isteri warganegara Vietnam yang tidak bekerja, lima anak yang masih kecil berusia lingkungan dua tahun sehingga 15 tahun serta seorang ibu yang sudah tua dan sakit dengan gaji bulanan sebanyak RM1,800.
Bagaimanapun hakim memaklumkan mahkamah mengambilkira fakta kes iaitu melibatkan barang rampasan sebanyak 112 jenis yang disimpan dalam kotak yang jumlahnya melebihi RM112.
“Mahkamah juga ambil kira faktor kepentingan awam iaitu faktor keselamatan orang awam memandangkan barang kes adalah di bawah bahan letupan. Di mana sebarang kejadian yang tidak diingini, sekiranya berlaku akan menyebabkan kemusmahan harta benda dan menjejaskan keselamatan nyawa orang awam.
“Mahkamah juga melihat kepada keseriusan kesalahan di bawah seksyen ini yang diterjemahkan melalui hukuman yang ditetapkan undang-undang iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksima RM10,000.
“Mahkamah turut mengambilkira jumlah barang kes yang terlalu banyak bukanlah untuk kegunaan sendiri. Selain itu, mahkamah turut mengambil kira rayuan tertuduh yang merupakan penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga isteri serta anak-anak beliau dan juga ibu yang semuanya bergantung harap kepada tertuduh.
“Akhir sekali, mahkamah mengambil kira hujahan pemberatan daripada puan TPR dan Peguam.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman denda dan bukan hukuman penjara bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk tidak lagi mengulangi kesalahan sama dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam negara.
“Oleh itu hukuman denda ialah sejumlah RM8,000 jika gagal bayar tujuh bulan penjara. Barang kes hendaklah dilupuskan pihak pendakwaan,” katanya ketika membacakan hukuman. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















